Selasa, 22 November 2011

Senarai Barang Berunsurkan BABI

BABI sememangnya binatang yang sangat rendah tarafnya dalam masyarakat Melayu. Perkataan babi pula digunakan sebagai 'penegasan' kepada betapa bencinya seseorang terhadap sesuatu. Penegasan ini pula lahir dalam perkataan yang ringkas seperti "Babi!", "Babi la ko!", "Gila baabi", dan seumpamanya. Terdapat juga spesis haiwan yang menjadi mangsa perkataan ini iaitu SIPUT BABI kerana spesis siput bercangkerang lembut ini sangatlah dibenci petani kerana tabiatnya merosakkan tanam-tanaman. Terdapat juga cara yang sopan untuk menyebut perkataan BABI ini seperti "BAB 1 betullah mamat tu", "Barbie sungguh la", dan juga "Weh, tadi aku nampak Baby melintas, geli dowh". Variasi sopan perkataan babi ini barangkali wujud kerana perkataan BABI itu kalau didengar pun sudah cukup menggelikan. Maka perlu ada variasi agar tidak menyebabkan orang muntah apabila mendengar perkataan tersebut. Begitulah buruknya nama babi tersebut.

Kerana begitu bencinya orang Melayu terhadap babi ini, maka mudahlah sesetengah pihak menggunakan nama ini untuk menjahanamkan reputasi sesetengah produk. Kalau hendak mengatakan sesuatu produk itu tidak halal, maka perlulah dikaitkan dengan babi agar lebih bertambah-tambah kesan fitnah yang dibuat. Anda boleh melihat sendiri betapa bergunanya babi untuk memfitnah seperti di bawah:


Babi SUDAH JELAS HARAMNYA PERHATIAN KEPADA SEMUA UMAT ISLAM RISALAH INI DIEDARKAN OLEH DR. RASHEED MOS,UNIVERSITI MALAYA KL, PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA , MAJLIS AGAMA ISLAM MALAYSIA & JABATAN KASTAM MALAYSIA. KAJIAN TELAH DIBUAT OLEH MAHASISWA UTM, UUM, USM, UM, UKM, & CAP.
SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI LEMAK ****
> 1. Minyak Masak LAM SOON ( Cap Helang & Buruh )
> 2. Ubat Pearl Cream Arche ( Thailand )
> 3. Ajinomoto ( Thailand )
> 4. Ais Krim Harga RM1.00 ke atas
> 5. Semua tauhu buatan Orang Cina
> 6. Sabun LUX & Lotion Badan Buatan Malaysia , USA , & Thailand
> 7. Sabun FAB berbuku
> 8. Lobak Jeruk
> 9. Mee & Kueteow basah ( buatan Cina)
> 10. Krim Muka Hazeline Snow

SENARAI BARANG YG MENGANDUNGI ( KULIT ****, URI & BINATANG YANG TIDAK HALAL)

> 1. Semua Jenis Serbuk Mee Segera Terutama Maggi
> 2. Pucuk , Kulit Popia, Fish Cake & Bebola Ikan buatan Orang Cina
> 3. Daging Burger Import
> 4.. Sardin, Kari Ayam dlm tin & Yong Taufu buatan Orang Cina
> 5. Kasut Bola Jenis ‘ Gold Cup’
> 6. Berus Gigi Jenis ‘ Reach’
> 7. Mee Kering ( sanggol ) 15.Mee Rebus Tulang&Kiub Perasa Ayam
> 8. Semua sabun mandi yang diimport
> 9. Ajinomoto kecuali keluaran Kilang Lot 5710 Jalan Kuchai Lama KL
> 10. Semua jenis shampoo kecuali keluaran Orang Islam
> 11. Have Pearl Cream
> 12. Ramuan Kentucky Fried Chicken & Mc Donald
> 13. Ubat Kurap buatan Org Cina
> 14.. Beehon Segera Siam
> 16. Sabun Mandi Yang Berminyak

SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI GELATIN ( LEMAK **** DAN BINATANG TIDAK HALAL )

> 1. Bosset Wine Gum
> 2. Dairy Milk Coklat
> 3. Coklat Cadbury/ Chewing Gum
> 4. Sugus Strawberry
> 5. Passer Doily Mixture
> 6. Trebo Mint Chewing Gum/ Peppermint
> 7. Scothes Vikmin
> 8. Share Extra Atrenght
> 9. Black Current Jelly
> 10. Royal Gulaman & Decart Oranges
> 11. Valvis Gelatin
> 12. Sarung Kapsul Ubat
> 13. Ais Krim dalam bekas plastik
> 14. Gula-gula Fruities
> 15 Cake Mets Vilber Punch
> 16 Coklat Cake
> 17 Tepung Kastard Lady’s Choice
> 18 Semua jenis Jelly
> 19 Semua jenis gincu bibir
> 20 Keseluruhan Jenis Sheisedo
> 21 Lady’s Choice Jelly
> SENARAI BARANG YANG MENGANDUNGI ALKOHOL UNSUR-UNSURNYA
> 1 BARANGAN AVON KESELURUHANNYA
> 2 PEWANGI KETIAK TERUTAMA JENAMA VITALIS & CONCORD
> 3 MINYAK RAMBUT BRYLCREAM ( HIJAU )
> 4 RACUN SERANGGA JENIS SPRAY SEPERTI SHELTOX, BAYGON & MORTIN
> 5 SELURUH UBAT BATUK JENIS SIRAP
> 6 KESELURUHAN BALL PEN DAKWAT KERING
> 7 TONIK BAYI GRAPE WATER, TONIK WATERBERRY COMPOUND
Kami dalam keresahan memohon ampun dan maaf terlewat memberutahu perkara di atas. Pastikan Pakaian anda tidak terkena bahan-bahan diatas terutama pakaian sembahyang. TOLONG CETAK DAN EDARKAN RISALAH INI KPD SEMUA SAUDARA ISLAM KITA.
Confirm – Pringles Potato Chips – tidak HALAL !!
AMARAN OLEH KERAJAAN M’SIA BERHATI-HATI SEBELUM MAKAN!
Ref. Message: Pringles Potato Chips
Looks like you have to find another alternative to munch.
Just to let you and gang know…….. I have checked. It’s true that the chips contain Emulsifier.
Dr Safurah Hj Jaafar ;
Principal Assistant Director;
Ministry of Health , Malaysia ;
Tel: 03-2540088.

Ini adalah respons pihak JAKIM terhadap dakwaan ini:

1. JAKIM mengucapkan terima kasih kerana mengingatkan orang ramai khususnya pengguna Muslim tentang pemilihan barang makanan.

2. Isu yang dikemukakan oleh puan di atas adalah isu lama dan dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kerana apabila pihak JAKIM membuat siasatan nama mereka yang dikaitkan dalam Kajian di Pusat Pengajian Tinggi tidak wujud dan pihak universiti tidak pernah mengarahkan mana-mana pensyarah atau pelajar membuat kajian terhadap produk yang dimaksudkan.

3. Sebagai panduan puan, dinasihatkan supaya menggunakan produk yang ada tanda halal JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri dan sekiranya terdapat kemusykilan pada barangan yang ada tanda halal JAKIM diminta supaya mendapatkan nama produk dan pengeluar dengan jelas dan rujuklah kepada JAKIM atau lihat laman web JAKIM melalui internet.

4. Elakkan dari membeli barangan keluaran luar negara yang ada campuran daripada bahan yang bersumberkan haiwan.

Selasa, 18 Oktober 2011

Paderi Melayu dah tiba?

Dalam tulisan saya yang lalu saya menyebut tentang holy water di mana dalam chain-message tersebut ada disebutkan tentang ketibaan 19 (atau 1900) orang paderi Melayu daripada Singapura ke Malaysia. Chain message yang asal mengandungi gambar orang yang dikatakan paderi Melayu tersebut namun tidak saya sertakan kerana kesuntukan masa. Di sini saya sertakan sekali gambarnya dan penerangan tentang gambar tersebut. 

Khabar seperti ini pasti membimbangkan, ditambah pula mempunyai bukti gambar sekali. Namun, setelah memeriksa kembali, saya temui keterangan tentang individu yang dikatakan sebagai paderi Melayu tersebut. Individu tersebut sememangnya seorang paderi, namun beliau bukanlah berbangsa Melayu sebaliknya adalah berketurunan Kadazan. Ini bermakna beliau bukanlah berasal daripada Singapura bahkan adalah dari Sabah. Keterangannya adalah seperti berikut:

“The 2 priests in the picture is Rev. Fr. Paulus Toni Tantiono OFM Capuchin from Pontianak, Kalimantan  and currently teaching Bible Study in Seminari Tinggi Permatang Siantar Sumatera Utara, Indonesia and the other priest standing at his back is Rev. Fr. Nicholas Stephen from Penampang, Sabah and currently serving at St. John’s parish Tuaran, Sabah. Fr. Paulus is a Chinese descendent while Fr. Nicholas Stephen is a Kadazan descendant.“


Ahad, 2 Oktober 2011

Bye = Di Bawah Naungan Pope/Paderi?


Saya kadang-kadang hairan dengan sikap kita yang kelihatannya paranoid dengan apa-apa yang datang dari barat. Hampir kebanyakan benda yang datang dari barat sering dianggap sebagai racun orang Kristian ataupun Yahudi untuk melemahkan umat Islam. Sikap paranoid itu dijelmakan dengan timbulnya dakwaan-dakwaan yang kadang-kadang langsung tidak masuk akal. Dakwaan-dakwaan ini pula tidak diketahui asal usulnya dan banyak yang tidak berasas. Apakah ia memang datang daripada orang Islam? Apakah ia datang daripada sesetengah pihak yang sebenarnya hendak memperlihatkan umat Islam sebagai umat yang lemah inteleknya? Saya sering menemukan dakwaan seperti dinyatakan di bawah:
perkataan  <BYE>  merupakan jarum sulit org kristian...didlm bahasa Arab b'maksud "fi hafzil baba" manakala dlm bahasa Malaysia b'maksud di bwh naungan pope(paderi) .  jd foward dan sebarkan kepada semua shbt2 anda.semoga Allah memberi rahmat kpd kita dan org lain.wassalam.
Wallahualam. ..
Sebaik2nya gantikan perkataan BYE tersebut kepada Assalamualaikum. .. Kerana sesungguhnya Islam yang diwariskan kepada kita oleh junjungan besar Nabi Muhammad SWT itu sudah lengkap dan sesuai untuk diamalkan sehingga ke akhir zaman... Cuma kita sahaja yang gemar menuruti budaya barat... (Budaya orang kafir laknat Nauzubillah. 
Apakah Maksud Bye?

Umum mengetahui bahawa bye adalah perkataan Inggeris dan maknanya selamat tinggal. Ianya diucapkan apabila seseorang mahu berpisah/ ke tempat lain selepas bertemu. Carilah daripada kamus manapun ia akan menyatakan bahawa goodbye bermaksud selamat tinggal. Ia begitu mudah dimengerti maknanya sehinggakan anak kecil yang berumur enam tahun pun faham apa maknanya bila perkataan tersebut diucap.



Bye Bermaksud Fi Hafzil Baba - Di Bawah Naungan Pope? 

Mesej tersebut juga mengatakan kononnya bye sebenarnya bermaksud fi hafzil baba (di bawah naungan Pope)  dalam bahasa Arab. Saya tidak tahu ustaz ataupun pak Arab manakah yang telah memberikan definisi tersebut. Bagi mendapatkan asal-usul perkataan bye saya telah men'google' menggunakan keyword "bye+origin" dan ini saya dapati: 
This phrase comes from God be with you. It has been shortened over the years since 16th century. Shakespeare used "God be wy you." The substitution for good for God seems to have been mainly due to the influence of such phrases as " good day" and " good night."
Petikan tersebut menerangkan bahawa frasa goodbye adalah gabungan dari perkataan God be with you dan telah dipendekkan sejak abad ke-16. Carian lanjut menemukan saya dengan fakta berikut yang menerangkan lebih lanjut tentang apa yang dikatakan dalam petikan di atas:

A contraction of the phrase God be with you (or ye); see GOD n. 8. The substitution of good- for God may have been due to association with such formulas of leave-taking as good day, good night, etc.
In a quote from 1659, we still have "God":
But mum for that, his strength will scarce supply His Back to the Balcona, so God b' wy.
And then by 1694, we have transitioned to "good":
He flings up his tail..and so bids us good-b'wy.

Jelas, asal perkataan Goodbye ialah daripada "God be with you (ye)". Pada tahun 1959, ia disingkatkan menjadi Godb'wy, seterusnya menjadi good-b'wy pada 1694, dan sekarang ia ditulis sebagai goodbye, dan disingkatkan juga menjadi bye sahaja.

God be with ye - God be with you - God b'wy - Good b'wy - Goodbye - Bye

Jelaslah bahawa perkataan bye sebenarnya berasal daripada Bahasa Inggeris. Jadi, bagaimanakah pula boleh timbul dakwaan konon bye dalam bahasa Arab bermaksud "fi hafzil baba" atau "di bawah naungan Pope"?

Barangkali
disebabkan perkataan tersebut digunakan oleh orang putih, sesetengah pihak menyelongkar pula maknanya dari segi asal usulnya dan mencari pengertian “sebenar” yang lebih dalam. Perkataan yang sepatah itu dianggap begitu berbahaya seolah-olah ia mampu menukarkan seorang muslim menjadi seorang Kristian atau Yahudi. 
 
Barangkali orang yang mencipta dan menyebar dakwaan ini mempunyai tujuan dakwah bagi menyedarkan umat Islam agar menggunakan perkataan salam yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
  Hal itu pada saya tidak salah. Yang salahnya adalah pembohongan yang kita lakukan untuk tujuan kononnya ingin berdakwah.

Selasa, 27 September 2011

Air Mineral + Holy Water

Cerita tentang holy water ini sudah lama saya dengar. Tidak setahun dua, bahkan sudah berbelas tahun semenjak saya di sekolah rendah lagi. Ada yang kata pihak tertentu membayar pihak tertentu untuk menarik golongan muda memasuki agama mereka dan dibayar ribuan ringgit bagi setiap orang yang berjaya diajak. Dan orang yang diajak tu pula akan diberi minum satu minuman (holy water) yang mana selepas minum, mereka tidak akan mampu untuk mengucap kalimah syahadah. Begitu bahayanya holy water yang diperkatakan ini. Cerita ini  pula seperti hidup, pandai membesar dan pandai pula membiak. Anda boleh lihat perkembangannya daripada awal sehingga keadaanya yang terkini seperti berikut:

VERSI 1
Dari Blog From My Desk

VERSI 2
Dari blog From My Desk

VERSI TERKINI

Begitulah hidupnya cerita tentang holy water ini. Ianya seperti iklan sabun pencuci pakaian di televisyen. Agar ianya sentiasa segar dipandang, ditukar namanya, ditambah bahan baru, serta diperkenalkan pula produk baru yang lebih hebat yang sudah tentu bertambah-tambah lagi kehebatannya. Begitulah juga halnya dengan Holy Water ini. Nama-nama air mineral yang asalnya al-Barakah ditukar menjadi al-Baramkah, al-Mansor menjadi al-Mansori, dan al-Bistari menjadi al-Bistaria. Kemudian versi terbaru pula menambah tiga jenama lain yang tak pernah disebutkan dalam versi-versi sebelumnya. Jumlah paderi itu bertambah dari jumlah asalnya 19 menjadi 1900. SUNGGUH AJAIB!

Isnin, 26 September 2011

Poco-poco Agenda Kristian?



Saya ingin sekali merujuk kepada surat tentang pewartaan fatwa berkenaan pengharaman Poco-poco sbgaimana di atas. Surat tersebut menyatakan pengharaman tarian/ senaman poco-poco adalah berasaskan sebab-sebab berikut:

1) mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh yang sering diamalkan di JAMAICA
2) bercirikan agama Kristian

Penerangan:

1) Barangkali klaim ini ada kaitan dengan yg berikut Pocomania yg diamalkan di Jamaica.

Apakah Pocomania ?

Pocomania (disebut Pokomania) atau Pukkumina adalah sebuah pecahan agama yg bercampur baur antara kepercayaan asal orang Afrika dengan unsur2 Kristian Protestan. Kepercayaan ini melibatkan ritual seperti tarian, bunyian gendang dan juga spirit possession (rasukan).

"Pocomania or Pukkumina (possibly from Span., ‘a little madness’) - Afro-Jamaican cults descended from surviving forms of African religion mixed with Protestant elements from the time of the Great Revival in Jamaica in 1860–2. They take the form of small local ‘bands’ led by a ‘Captain’, ‘Mother’, or ‘Shepherd/ess’ who lives at and rules over the band's Yard. Pocomania passes over into ancestor-spirit cults on one side, and into Revival Zion on the other, and some adherents belong to the Christian churches."

"The central feature of the Pocomania sect, for example, is spirit possession; the Cumina sect has rituals characterized by drumming, dancing, and spirit possession."

Apakah Poco-poco?

Poco-poco adalah sebuah tarian yang berasal dari Sulawesi, Indonesia (BUKAN JAMAICA MAHUPUN FILIPINA) dan ditarikan bagi mengiringi sebuah lagu pop yang popular pada ketika itu (mungkin sekitar 80-an). Penyanyinya Yopie Latul, Penulis liriknya Arie Sapulette, Bahasanya: Bahasa Manado. Poco-poco bermaksud "yang berisi dan lincah". Hal ini kerana lirik lagunya memuji kelincahan wanita yang berisi ketika menari (yg mndatangkan inspirasi kpd pnulis lirik lagu Poco-poco).


Balenggang pata-pata
Ngana pe goyang pica-pica
Ngana pe bodi poco-poco

Cuma ngana yang kita cinta
Cuma ngana yang kita sayang
Cuma ngana suka biking pusing
(ya’ ulangi)

Ngana bilang kita na sayang
Rasa hati ini melayang jauh…
Ci ija ci ija
Biar kita ngana pe bayang
Biar na biking layang-layang
Cuma ngana yang kita sayang

Terjemahan:

(Jalannya berlenggang,
Goyangan badanmu...lincah,
Tubuhmu yang berisi dan lincah
Hanya kamu yang kucinta
Hanya kamu yang kusayang
Hanya kamu suka buat aku pusing...)

Poco-poco adalah amat berbeza dengan Pocomania yang diamalkan dlm istilah asalnya dan juga tidak ada kaitan dengan mana-mana ritual dalam agama Kristian.

Utk meneliti lebih lanjut sejarah tarian Poco-poco, sila rujuk link di bawah:

http://taipingilmu.blogspot.com/2009/03/poco-poco-dan-sejarahnya.html

Rabu, 24 Ogos 2011

Akum = Hamba Binatang?

AKUM - singkatan bagi Ovdey Kochavim u Mazalot
 
Sejak munculnya telefon bimbit, muncul juga SMS (short messaging system) atau dalam Bahasa Melayunya Sistem Pesanan Ringkas. Kebanyakan kita tahu menggunakan SMS dan tahu pula meringkaskan perkataan-perkataan untuk menjimatkan masa dan mengelakkan orang tertunggu-tunggu.  Salah satu perkataan yang diringkaskan adalah Assalamualaikum yang kini diringkaskan kepada AKUM atau SALAM. Ringkasan perkataan tersebut bagaimanapun menimbulkan perasaan kurang senang bagi sesetengah pihak. Akhirnya timbul mesej berantai seperti berikut:


Janganlah kita menggantikan perkataan “Assalamualaikum” dengan “A’kum” dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan. Jika perkataan “Assalamualaikum” itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan “As Salam” yang membawa maksud sama dengan “Assalamualaikum”. Sesamalah kita memberitahu member-member yang selalu sangat guna shortform “A’kum” dalam sms ataupun email.  Perkataan ‘AKUM‘ adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud ‘BINATANG‘ dalam Bahasa Ibrani. Ia singkatan daripada perkataan ‘Avde Kokhavim U Mazzalot’ yang bermaksud ‘HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT‘."

Seperti biasa ramai yang akan dengan segera dan tanpa bertangguh dan tanpa menyiasat akan mem'forwardkan' mesej ini kepada saudara-saudara seagama. Dan seperti biasa juga kita akan menemukan komen-komen seperti "oh, inilah jarum Yahudi untuk sesatkan umat Islam", "oh, inilah cara orang halus orang Yahudi nak merendahkan orang Islam". Apapun, saya telah Googlekan perkataan AKUM dan akhirnya saya menemukan sebuah artikel di Wikipedia yang antara lain menyebut:


Ishtar of the Stars
Bishul Yisrael is a Hebrew term for one of the laws of kashrut in Judaism. The rule prohibits eating certain foods if they are cooked entirely by non-Jews. The term bishul Yisrael (literally "cooking of Israel" - i.e., by a Jew) is the opposite of bishul akum, (cooking of a non-Jew), which the rule forbids. ("Akum" (עכו"ם) is an acronym of "Ovdey Kochavim U'Mazalot" (עובדי כוכבים ומזלות), literally "worshippers of stars and zodiac signs", but is actually a term for non-Jews).


Petikan tersebut menjelaskan bahawa AKUM adalah singkatan perkataan Ovdey Kochavim U'Mazalot yang secara literalnya bermaksud "penyembah bintang dan lambang zodiak". Lebih lanjut, AKUM sebenarnya merujuk kepada orang-orang BUKAN YAHUDI atau dengan kata lainnya ORANG-ORANG KAFIR/ MUSYRIK daripada pandangan agama mereka.  Islam juga memanggil penyembah berhala sebagai orang kafir. Persamaan ini tidaklah menghairankan kerana agama orang Yahudi juga pada asalnya adalah agama samawi seperti juga agama Islam dan Kristian.

Persoalannya, bolehkah kita menggunakan singkatan AKUM dalam SMS atau chatting? Sebelum menjawab persoalan ini, saya berikan beberapa contoh perkataan bahasa Inggeris  yang memberi makna berbeza dalam bahasa lain:

CHAT bermaksud 'cat' ataupun kucing dalam bahasa Perancis. 
Tetapi, "Let's have some chat" bukanlah bermaksud "Mari makan kucing".
SEX bermaksud 'six' atau enam dalam bahasa Latin. 
Tetapi "I need sex" bukanlah bermaksud "Saya perlukan enam". 
HELL bermaksud "light" dalam bahasa German. 
"What the hell" pula bukanlah bermaksud "Cahaya apa ke jadah!"
dan orang putih juga tidak akan memberikan anda segelas air hanya kerana 
anda mengatakan "I need some fresh air"

Begitu juga halnya dengan perkataan AKUM. Dalam bahasa Yahudi memang ia bermaksud "penyembah bintang". Tetapi dalam konteks kita (org Islam Malaysia), ia berasal daripada perkataan Assalamualaikum yang bermaksud "Salam sejahtera ke atas kamu". Justeru, pada pandangan peribadi saya tidak ada masalah untuk menggunakan singkatan Akum ketika berSMS kerana ia secara asalnya berasal daripada perkataan yang baik bagi orang Islam iaitu Assalamualaikum. Melainkan jika kita berniat untuk memaki atau menyumpah seranah bila menggunakan perkataan tersebut, sudah tentu lain pula ceritanya. 

Sabtu, 20 Ogos 2011

Syiling Baru ada Logo Israel!

5 sen + 5 sen = berapa? Tentulah jawapannya seposen kan? Tapi sejak beberapa minggu lepas jawapan kepada soalan tu dah bertukar. Apa jawapannya? Jawapannya ada kaitan dengan no 1 jugak, tapi bukanlah 1Malaysia sebaliknya 1 Israel. Pelik? Senang nak bagi korang faham aku kasi tunjuk satu gambar nih:

Dah faham? Untuk pengetahuan korang inilah syiling seposen dalam edisi ketiga duit syiling Malaysia Inilah kalau korang nak tahu agenda APCO (Agensi Yahudi) yang terbaru iaitu nak menjadikan Malaysia ni sebagai. salah satu cawangan terbaru diorang selepas Singapura. Lambang bulan dan bintang juga tidak lagi digunakan kerana nak menukar agama rasmi Malaysia kepada agama Yahudi.

Ya, itulah hakikatnya. Gerakan ini juga telah memulakan gerakan dakwah mereka di kalangan orang Asli kerana beranggapan mereka lebih mudah dipengaruhi. Sememangnya dorang telah berjaya kerana ada bukti daripada rakan blogger seperti yang di bawah neh. Dalam gambar ni terang-terang makcik tu pakai LAMBANG YAHUDI! Bukti apa lagi korang nak? 

 
Gambar asal adalah daripada blog akusobriyaacob
Korang jangan percaya kalau Bank Negara cakap gambar kat duit seposen tu sebenarnya berasal daripada motif orang asli Mah Meri. Korang JANGAN SEKALI-KALI PERCAYA! Sebenarnya orang Aslilah yang telah didakwah dan kini sedang menganut agama Yahudi. Korang jangan percaya cakap orang kerajaan weh, dorang cuma nak tutup kegiatan sebenar dorang bersekongkol dengan orang Yahudi!

Khamis, 18 Ogos 2011

Logo Bank Negara Malaysia dan Freemason

Percayakah anda bahawa negara kita semakin dibelenggu oleh unsur-unsur Illuminati? Buktinya ada, dan bukti tu pula bukan calang-calang kerana melibatkan institusi kewangan paling utama di Malaysia iaitu Bank Negara Malaysia sendiri! Anda boleh lihat sendiri logo di atas Haiwan di dalam bulatan biru itu dikatakan kijang. Tetapi  pernahkah anda temui kijang yang berekor panjang? 

Fokuskan pandangan anda pada ekor kijang ini. Adakah ekornya sepanjang seperti digambarkan dalam logo tadi? Anak kecil pun tahu bahawa ia sangat jauh berbeza. Cuba anda lihat pula gambar di bawah ini. Gambar di bawah ini adalah gambar seekor anjing. Secara spesifiknya ia dipanggil The Pharaohs Hound, atau anjing Firaun. Samakah atau tidak haiwan di dalam logo tersebut dengan gambar di bawah ini?


Kenapakah terdapat lambang bulan dan matahari pada logo BNM? Ini menimbulkan persoalan yang cukup besar. Setakat pengetahuan penulis dalam mitos Mesir, terdapat seorang  Dewa bernama Horus yang dikatakan mempunyai mata yang terdiri daripada bulan dan matahari.  Jadi, mungkin itulah yang dimaksudkan oleh logo tu.. Ternyata ini ada kaitan dengan Freemason yang sememangnya sering menggunakan logo berkaitan Firaun seperti ini;

Anda masih tidak percaya? Di sini saya tunjukkan gambar syiling yang ditemui di Mesir tidak lama dulu. Dalam syiling emas itu, anda boleh lihat lambang anjing Firaun tadi lengkap dengan bulan dan matahari. Nah, apa lagi? Inilah buktinya bahawa Bank Negara Malaysia memang menyokong Illuminati!
Syiling yang konon ditemui di Mesir


ADAKAH ANDA PERCAYA DENGAN DAKWAAN DI ATAS?

Di sini saya ingin ingatkan kepada anda bahawa apa yang ditulis di atas adalah AUTA semata-mata. Diulangi AUTA! Ini faktanya: 

  • Logo BNM berasal daripada KUPANG KELANTAN yang sememangnya mempunyai gambar kijang.
  • Gambar kijang tersebut diilustrasikan sebegitu rupa bagi menggambarkan ekor kijang yang akan naik apabila mengesan bahaya ataupun lari daripada musuh. 
  • Apabila ekornya dinaikkan, akan nampaklah warna putih pada bawah ekornya bagi memberi amaran kepada kijang-kijang yang lain tentang bahaya yang ada. 
  • Pada belakang kupang tersebut ada tertulis perkataan "malikul-adl" bermaksud "pemerintah yang adil"
Kijang menaikkan ekornya

Logo BNM dan Kupang Kelantan dengan kalimah "Malikul-'Adl di belakangnya"

Ahad, 14 Ogos 2011

Salah Faham Puasa 3 - Perlu ke Tunggu Lailatulqadar? (Pemikiran Mizan Qistina)

Aku teringat masa kecik-kecik yang mana aku selalu pegi surau tatkala malam menjelang di bulan Ramadhan. Yela, ikut kawan-kawan join jemaah semayang tarawih (bila imam laung selawat, kamilah yang paling gempak, satu kampung bleh dengar owh). Dan pada malam Ramadhan juga orang sibuk bercerita pasal Lailatul-qadar, malam yang penuh keajaiban dan kemisterian. Macam-macam cerita yang kita boleh dengar. Antara dakwaannya:

1. Ada orang pi surau, nak amik wudhu' tapi tak boleh sebab tangan tak boleh masuk dalam air, air tu macam membeku.
2. Ada orang nampak pokok sujud pada waktu malam tu.
3. Air laut tetiba rasa tawar.
4. Sorang ni duk pi belek daun kat pokok apa entah, tapi yang peliknya daun tu terbalik daripada side yang normalnya.
5. Ada orang nampak cahaya turun  dari langit (alien kot)
6. Ada orang nampak seperti benda terbang kat langit (ala-ala Santa Claus pun ada)
7. Malam Lailatulqadar takde salakan anjing.
Tak mustahil korang akan dengar plak citer planet jatuh ke laut nti
Dan aku juga pernah baca satu risalah dalam tulisan jawi (tulisan tangan lagi tu, chain letter traditional neh). Konon Tokku Pulau Manis, yang dikatakan seorang wali Allah pernah gak alami benda pelik masa malam lailatulqadar. Ceritanya, beliau nak amik wudhu', so dia letak la serban beliau dekat tepi satu pokok buluh. Lepas selesai amik wudhu' tu, dia nampak serban tu dah ada nun tinggi di sayup ujung rumpun buluh tu. So tahulah dia bahawa malam tu lailatulqadar dan dia pun angkat tangan menadah doa supaya keturunannya dijadikan dari kalangan orang yang soleh. Begitulah ceritanya yang aku pun tak tahu kesahihannya.

Disebabkan cerita-cerita macam ni maka wujud salah faham pasal konsep sebenar Lailatulqadar. Sampai ada yang anggap Lailatulqadar ni benda yang mengarut, yang sama macam citer dongeng. Korang bleh nilai sendiri la kesan citer ni kepada umat Islam sampaikan wujud golongan cam Mizan Qistina ni:

Giler kan soalan dia? Bagi yang first time baca mesti dah kutuk gila-gila punya. Takde dah nak tanya, konformkan apa pendirian dia. "Hamboi, ko tudung tak pakai, aurat tak jaga macammana nak jumpa Lailatulqadar?", "apa kejadahnya tanya soalan lagu neh, dah tak nak ngaku Islam ke?", "Orang bodoh je yang tanya soalan camneh" dan macam-macam lagi. Camtulah sikap kita terus menghukum tanpa kita nak usul periksa apa pemahaman dia sebenarnya. Kita tengok apa dia kata seterusnya: 


So kat sini kita dah tau, dia seperti aku dan korang juga, pernah dengar citer-citer mistik pasal Lailatulqadar ni. Aku tak tau la ustaz mana yang cakap camtu. Tapi daripada apa yang dia cakap tu kita bleh andaikan bahawa dia ni salah faham konsep. Seterusnya:


Hahaaa, lawak pun ada si Mizan Qistina ni. Tapi walaupun dia meridiculekan perkara ni, tapi memang ada benarnya argument tu. Aku rasa dia just nak terangkan pasal karut-marut tu. Dan di bawah ni korang bleh tengok dia state nyer stand pasal hal ni.

Yup, aku setuju ngan MQ dalam hal ni. Mungkin dia kurang didikan agama masa kecik, tapi tu tak bermakna pemikiran dia salah, yang salahnya mungkin pemahaman dia. Mungkin sebab dia belajar agama tak ikut tahap-tahapnya, belajar pakai Google je. Atau mungkin  gak dia faham, tapi dia raise isu ni secara provocative sampai orang salah sangka tujuan dia post soalan tu.  Maybe dia nak raise isu tentang salah faham masyarakat pasal Lailatulqadar ni. Ini sampaikan ada yang tuduh dia  ATHEIST la, nak sesatkan orang lain la, munafik dan sebagainya. Sanggup ke kita nak minta maaf balik ngan si Qistina tu lau dakwaan kita salah? Bulan pose ni tau, kang saja kurang plak balasan kebaikan kita tu sebab tuduhan melulu kita tu.

Camne plak ngan soalan aku kat atas nun? PERLU TAK KITA TUNGGU LAILATULQADAR? Jawapan aku TAk PAYAH TUNGGU LA. Kalau setakat tunggu ni, semua orang pun bleh tunggu. Duk kat tepi longkang tunggu Lailatulqadar datang, pastu nak konformkan datang ke tak pi rasa air longkang tu, beku ke tak, kaaaan? Memang dalam hadith ada disebut pasal tanda-tanda Lailatulqadar, tapi yang dituntut bukanlah menunggu atau mencari tanda-tanda berlakunya Lailatulqadar tu, sebaliknya kita digalakkan beribadat bersungguh-sungguh pada malam-malam GANJIL di antara 10 malam terakhir Ramadhan agar dapat fadilat Lailatulqadar kalau masa kita beribadat tu bertembung ngan malam al-Qadr. Kita tak disuruh cari BENDA-BENDA GANJIL yang berlaku pada malam tu.Tak caya? Korang buleh baca sineh: ASSABIEL.COM

Jumaat, 12 Ogos 2011

Salah Faham Puasa 2 - Kentut dalam Air Batal Puasa

Pruuuut...ahhhh, kentut wangi dah kuar, heheh. Ak nak tanya korang, wujudkah manusia yang TAK PERNAH KENTUT dalam dunia ni? Wujud ke? Ak pasti dan percaya hampir semua orang dalam dunia ni kentut. Takde yang terlepas daripada melakukan aktiviti biologi yang normal ni tak kiralah Siti Nurhaliza, Lady Gaga mahupun Hitler sekalipun. Yang aku tak pasti adalah ramai ke tidak manusia yang suka kentut dalam air. Dan aku tak pasti apa sebabnya dorang berbuat demikian. Suka kot tengok buih kuar dalam air. Takde kejenye nak kentut dalam air yeop~ Disebabkan wujudnya manusia yang kentut dalam air nilah maka ada fatwa tak rasmi konon kalau kentut dalam air boleh batal puasa - yang ni salah sorang ustazah aku yang gitau ni dan aku percaya ada ramai yang pernah dengar tentang benda nih. Aku tak salahkan ustazah tu sebab pada aku takde manusia yang sempurna ilmunya di dunia ni. Dan aku tak salahkan orang yang menyebarkannya kerana itu adalah disebabkan mereka tak tau. Apa pun aku rasa aku kena betulkan pandangan yang tak berapa tepat ni. Cuba baca yang ni.
Isu kentut dalam kolam dan hubungan dengan batal puasa adalah sikap mencari-cari hukum dalam daerah kemaafan Islam. Maksudnya tidak usahlah kita mencari hukum dalam urusan yang didiamkan oleh syara'. Sebagaimana satu HR Daruqutni, "Allah mendiamkan beberapa hal sebagai rahmat utk mu, tanpa lupa, maka janganlah kamu tercari-cari (hukumnya)." (tarjeeh Imam Nawawi, hadith hasan) Kentut dalam kolam tidak membatalkan puasa kerana tidak ada dalil yang mengatakan batal.
Kalau korang nak baca huraian yang lebih lanjut korang bolehlah baca kat post di Scribd ni. Jadi lepas ni janganlah duk tahan-tahan lagi kentut tu lau nak p berkubang ye. Lau jadi cam kat bawah ni tak ke naya korang nanti: 




Kepada sesiapa yang merasakan kentut dorang ada unsur-unsur toksik/nuklear tu janganlah kentut di dalam air mentang-mentang dah tau tak batal puasa. Kang ada plak yang arwah sebab kentut korang tu: 


Sebaliknya, lepaskanlah kentut korang bagi tujuan yang berfaedah seperti ni: 



Semanis kencing manis, selamat beramal!

Khamis, 11 Ogos 2011

Salah Faham Puasa 1 - Korek hidung/telinga Batal Puasa

"Alamak, lupe ak pose"
Sempena bulan puasa ni ak nak share beberapa salah faham yang ak dengar sejak kecik lagi:

1) Korek taik hidung/telinga batal puasa: 

Nasib baik telinga tak jadi panjang camni
Disebabkan ikut benda nilah maka ak merana sepanjang 15 kali bulan puasa. Merana owh takleh korek taik idung. Lau rasa gatal pun ak terpaksa garu kat luar hidung je sampai berbelang hidung tu. Lau gatal telinga lak terpaksa tarik-tarik cuping telinga.  Takut weh nak korek. Yelah, kalau korek kang batal puasa. Kalau batal puasa maka tak cukup la puasa. Kalau tak cukup puasa maka tak boleh raya. Kalau tak boleh raya tak dapat la duit raya.Aduh, memang seksa zaman-zaman kejahilan itu. 

Setelah masuk 'u' dan pandai main internet ni lah barulah ak tau korek idung ni tak membatalkan puasa. Kalau tak nayalah aku sepanjang puasa semata-mata sebab benda ni. Namun, diingatkan kepada pelayar-pelayar blog sekalian...aku bukanlah alim ulama atau sesiapa dalam bidang agama. Kalau korang nak tau lagi lanjut korang tanyalah ngan ustaz yang lagi pandai. Yang ak sharekan ngan korang ni pun ak dapat daripada Scribd. Kalau korang nak yang versi laaaaagi panjang bolehlah tekan link tu. Ni hah, amik korang: 

Sememangnya tiada dalil jelas dari al-Quran mahupun as-Sunnah yang melarang daripada mengorek hidung ataupun telinga. Bagi yang berpendapat ianya membatalkan mereka bersandar kepada dalil:

Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…).]

antara hadith lain
...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Daripada sabda Rasulullah s.a.w “…menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” Difahami sebagai dilarang menyedut air ke dalam hidung ketika sedang berpuasa. Jika dimasukkan air maka perbuatan tersebut membatalkan puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan kepada semua rongga tubuh berdasarkan qiyas (analogi).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.” [Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117. Dinukil dari Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa]
Panjang kan, kan, kan. Ak rasa korang bleh faham la kan hukumnya korek idung tu. Lau nak lagi jelas aku sarankan sangat korang supaya baca artikel penuh di Scribd. Tak pun korang bleh gak dengar penerangan Ustaz Azhar dalam video nih:

 

Tapi ak ingatkan korek-korek jugak tapi jangan jadi seperti insan kat bawah ni. Taik hidung tu mungkin sedap tapi sah-sah la batal puasa korang lau korang makan: 

Sedap kot taik idung tu ye?

Dalam post akan datang ak akan ceritakan plak pasal salah faham berikut lak, so continue lah ikut blog ni eh?

2) Kentut dalam air batal puasa
3) Gosok gigi batal puasa
4) Dah masuk imsak takleh makan dah

Rabu, 10 Ogos 2011

Kiamat di Bulan Ramadhan



Ni ada lagi satu chain message yg semakin kerap tersebar dlm kalangan PembukuMuka (Facebookers) sempena bulan Ramadhan yang mulia nih, maklumlah nak tambah pahala katanya. Message ni pasal huru-hara yang akan terjadi pada 15 Ramadhan 2012. Seram weih, korang baca neh:
Cuba lihat kalendar untuk tahun 2012... 1 Ramadhan pada tahun 2012 jatuh pada 20 Julai iaitu hari Jumaat, jadi 3 Ogos 2012 bersamaan 15 Ramadan juga pada hari Jumaat. Sama dengan satu hadis Nabi SAW tentang huru hara besar yang akan terjadi pada tengah malam pertengahan Ramadhan iaitu hari Jumaat 15 Ramadhan di bumi ini. Huru hara yang akan mengejutkan semua orang yang sedang tidur... Satu suara yang amat dahsyat akan kita dengar dari langit, bukan kiamat tetapi huru hara tersebut akan melenyapkan umat manusia di atas muka bumi ini sebanyak 2/3, yang tinggal hanya 1/3 shj. ( Menurut kajian NASA, pada 21-12-2012 satu planet yg yang dikenali planet X akan melintasi bumi ) Adakah kita semua ni tergolong dalam 1/3 itu? Adakah peristiwa itu akn berlaku pada 2012?? Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui..
Yang penting kita perbanyakkan ibadat dan berdoa agar kita termasuk dlm golongan yg dilindungi Allah, jika mati biarlah kita mati dlm Islam dan beriman.. Apa pun, peristiwa itu pasti akan berlaku mengikut hadis Nabi SAW di bawah..


Dari Nu'aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan itul...". Kami bertanya: "Suara apakah, ya Rasulullah? " Beliau menjawab: "Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumaat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumaat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumaat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: " Mahasuci Al-Quddus, Mahasuci Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus ", kerana barangsiapa melakukan hal itu akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu akan binasa". (Al Hadis)-copy by Kasman Azizul Othman..

Ak tak payah nak citer lebih2 sbb ak bkn ahli dlm hal2 agama nih, so korang baca sendiri la jawapan daripada JAKIM neh:

INI JAWAPAN DARI JAKIM

"Walaikum salam....


Hadith ini mengikut Dr Fahd Salman Audah adalah Do'if Jiddan atau Maudu'. Tidak boleh langsung berhujjah dengannya. Hadith ini memang sudah banyak tersebar secara meluas

Salah seorang perawi hadith ini ialah Nuaim bin Hammad. Ramai ahli ilmu yang menyatakan hadith yang diriwayatkan oleh Nuaim bin Hammad dalam Musonnifnya berkaitan cerita-cerita berkenaan kisah akhir zaman adalah adalah Munkar. Berkata Imam Az-Zahabi dalam kitab Siar A'lam Nubala' ; " Tidak boleh seseorangpn berhujjah dgn hadith Nuaim bin Hammad kerana dia telah mengarang kitab tentang fitnah akhir zaman dengan mendatangkan keajaiban2 dan banyak yang dibawanya adalah Munkar. Dia banyak mengambil hadith dari Kaab bin al-Ahbar yang dikenali kerana berpegang dengan kitab-kitab Israiliyyat.Dia juga banyak mengambil hadith dari org2 yang tidak dikenali dan diragui.

Begitu juga dgn Abdul Wahhab salah seorang perawi hadith ini mengikut Al-Hakim dalam Lisanul Mizan adalah orang yang tidak diketahui (majhul).

Wallahu a'lam...semoga kita berhati2 dgn hadith2 seumpama ini..dan menjaga nas syariah seperti yang sebenarnya...

Wassalam...

Bahagian Penyelidikan JAKIM
Cawangan Akidah,
P.P (T.T)

So kepada yang telah TERMENYEBARKAN chain message cam kat atas tadi, silalah bertanggungjawab menyebarkan yang betul ni plak. Sama-samalah kita menyebarkan yang benar. Jangan sampai kita menanggung dosa sebab menyebarkan yang tak benar. Adios krompes!

Makna Pokemon dalam Bahasa Yahudi

Pokemon pertama kali diperkenalkan pada tahun 1996. Ketika itu saya masih bersekolah rendah, darjah 5. Zaman itu adalah zaman permainan Cyberpet,  ataupun membela binatang digital. yang selalunya berbentuk telur. Binatang tersebut akan di'bela', diberi makan, dijaga kesihatannya dan boleh juga bermain, tetapi secara digital.




Dakwaan pertama yang saya dengar tentang Pokemon pada ketika itu adalah "ia bertujuan agar umat Islam sukakan babi/khinzir melalui watak Pikachu". Saya cuma mendengar dan tidak berkata apa-apa. Seterusnya apabila timbul pula dakwaan ini, saya  cuma mampu tergelak kerana ia begitu lucu:  

Assalamualaikum

Ada satu perkara yang ana ingin kongsi bersama. Ana tak pasti samada maklumat ni dah sampai ke pegetahuan ikhwah semua. Semasa menghadiri kelas Dr Bahjat di salah sebuah masjid di Mafraq, ana diberikan satu kertas yang menjelaskan tentang bahaya Pokemon. Antara kandungan kertas itu ialah beberapa makna binatang-binatang yang ada dalam cerita kartun tersebut. Perkataan-perkataan itu adalah dalam bahasa Siryani (lughah Siryaniiyah).

Contohnya:
Pokemon – Saya Yahudi.
Charmander – Allah itu lemah (Subhanallah!)
Pikachu – Jadilah seorang Yahudi.

Terdapat beberapa lagi nama binatang dalam cerita Pokemon yang membawa makna yang kufur dan jahat...
Begitu dahsyatnya makna-makna nama-nama karakter Pokemon tersebut. Dakwaan tersebut pertama kali saya dengar belajar di KUSZA dan pertama kali saya baca di UPSI. Kemudahan internet yang amat laju dan mudah didapati di UPSI amat menyenangkan saya untuk membuat kajian lanjut tentang dakwaan ini. Tidak perlu untuk saya menghantar email kepada Satoshi Tajiri tentang hal ini, sekadar duduk di hujung katil dan meng'google' sahaja. Jari-jemari menari dan mata terpaku ke dada laptop, hasilnya ini saya ketemui:

MAKNA POKEMON DAN NAMA-NAMA KARAKTER TERTENTU


1) Pokemon: Berasal drp pkataan Pocket dan Monster. Jadi, Pokemon adalah Pocket Monster atau dalam bahasa Melayunya Raksasa yang Boleh Disimpan di dalam Poket. Kenapa? Kerana raksasa tu boleh ditangkap dan kurung dlm sebijik bola kemudian boleh dimuatkan ke dalam poket pemiliknya.
Formulanya: Pocket + Monster = Pokemon

Pokemon dan Bola yang boleh mengurung raksasa


2) Charmander: Berasal drp pkataan Char (pkataan omputih, maksudnya bakar, membakar ataupun terbakar) dan Salamander (sejenis binatang dalam cerita dongeng, binatang ini semacam biawak dan dikatakan hidup dalam api).
Formulanya: Char + Salamander = Charmander.

Ni plak binatang Charmander, kiut resaksa neh >.<

3) Pikachu: Berasal daripada perkataan Pikapika (bahasa Jepun, maksudnya bunyi arus eletrik) dan Chuchu (bahasa Jepun gak, maksudnya bunyi tikus).
Formulanya: Pikapika + Chu = Pikachu.

Nilah Pokemon, resaksa kecik yg bleh kuarkan kuasa elektrik
PENCIPTA WATAK POKEMON

Penulis email ni mengatakan konon perkataan tadi berasal dari bahasa Siryani (Suryani). Bahasa Siryani adalah bahasa  yg hampir dengan bahasa Ibrani (Hebrew). Pokemon ni dibuat oleh orang Yahudi utk sesatkan orang Islam. Adakah pencipta kartun ini orang Yahudi? Jawapannya TIDAK. Kartun ini dicipta oleh Satoshi Tajiri dan merupakan orang Jepun. Beliau mendapat ilham menghasilkan permainan ini daripada pengalaman waktu kecilnya di mana beliau suka mengumpul serangga: 

As a child, Tajiri enjoyed insect collecting as a hobby; this childhood activity would prove an inspiration for his later video game work.[4] In fact, other children called him "Dr. Bug",[3] and he wanted to have a profession as an entomologist.[2] As the urban areas of Japan spread and more was paved over, many of the places for hunting bugs were lost. Tajiri wanted his games to allow children to have the feeling of catching and collecting creatures as he had.[4] The character of Ash Ketchum (Satoshi in Japan), is largely a version of Tajiri as a child.[3]
SIAPAKAH DR BAHJAT?

Saya tertanya-tanya siapakah Dr Bahjat yang disebut dalam email tersebut. Dengan menggunakan keyword Dr Bahjat dan Mafraq saya menemui yang berikut:

1) Dr Bahjat
Jawazneh - seorang Profesor Madya yang bertugas di Faculty of Finance and Business di Al al-Bayt University di Jordan
2) Dr Bahjat Habashneh - Bahjat Al Habashneh Assistant Professor Faculty of Islamic Jurisprudence and Law Al Al Bayt University
Buku;
The concept of the Messiah in the three religions, Judaism, Christianity and Islam
3) Dr Bahjat Batarseh - seorang Pendakwah Kristian
4) Bahjat alJubory - seorang artis (saya cuba google translate aljuboury, tapi tidak dapat maknanya)

Barangkali Dr Bahjat Habashneh adalah orang yang dimaksudkan dalam email tersebut. Maka saya teruskan meng'google' dan pada kali ini saya menggunakan keyword - Dr Bahjat Habashneh + Pokemon dan saya tidak menemukan apa-apa link yang berkaitan. Seterusnya saya menggunakan keyword "Dr Habashneh books" dan saya menemukan artikel yang bertajuk Our Prophet in the Dead Sea Scrolls. Artikel tersebut sungguhpun menarik namun tidak terkandung maklumat yang saya cari. Sehingga kini saya masih mencari-cari apakah Dr Habashneh pernah mengatakan apa-apa berkenaan Pokemon dan masih belum menemuinya.



Selamat datang!

Selamat datang diucapkan kepada para pembaca blog theBULLSHITbuster ini. Blog ini saya buat setelah menyedari wujud begitu banyak mesej-mesej karut yang disebarkan di internet. Maklumat yang tidak tepat ini sering wujud dalam bentuk Forwarded Message yang kadang-kadang tidak tahu siapa penulis asalnya dan tidak diketahui ketepatan maklumatnya. Kadang-kadang ianya adalah mesej yang direkayasa dengan tidak diketahui tujuannya. Justeru, saya merasakan perlunya usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang kepalsuan/kebenaran tentang mesej-mesej sebegini agar tidak menimbulkan huru-hara dalam masyarakat kita.

Saya bukanlah manusia yang sempurna, justeru saya amat mengharapkan teguran dan pembetulan terhadap apa-apa maklumat yang saya sampaikan menerusi theBULSHITbuster. Selamat membaca dan menilai!