Rabu, 24 Ogos 2011

Akum = Hamba Binatang?

AKUM - singkatan bagi Ovdey Kochavim u Mazalot
 
Sejak munculnya telefon bimbit, muncul juga SMS (short messaging system) atau dalam Bahasa Melayunya Sistem Pesanan Ringkas. Kebanyakan kita tahu menggunakan SMS dan tahu pula meringkaskan perkataan-perkataan untuk menjimatkan masa dan mengelakkan orang tertunggu-tunggu.  Salah satu perkataan yang diringkaskan adalah Assalamualaikum yang kini diringkaskan kepada AKUM atau SALAM. Ringkasan perkataan tersebut bagaimanapun menimbulkan perasaan kurang senang bagi sesetengah pihak. Akhirnya timbul mesej berantai seperti berikut:


Janganlah kita menggantikan perkataan “Assalamualaikum” dengan “A’kum” dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan. Jika perkataan “Assalamualaikum” itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan “As Salam” yang membawa maksud sama dengan “Assalamualaikum”. Sesamalah kita memberitahu member-member yang selalu sangat guna shortform “A’kum” dalam sms ataupun email.  Perkataan ‘AKUM‘ adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud ‘BINATANG‘ dalam Bahasa Ibrani. Ia singkatan daripada perkataan ‘Avde Kokhavim U Mazzalot’ yang bermaksud ‘HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT‘."

Seperti biasa ramai yang akan dengan segera dan tanpa bertangguh dan tanpa menyiasat akan mem'forwardkan' mesej ini kepada saudara-saudara seagama. Dan seperti biasa juga kita akan menemukan komen-komen seperti "oh, inilah jarum Yahudi untuk sesatkan umat Islam", "oh, inilah cara orang halus orang Yahudi nak merendahkan orang Islam". Apapun, saya telah Googlekan perkataan AKUM dan akhirnya saya menemukan sebuah artikel di Wikipedia yang antara lain menyebut:


Ishtar of the Stars
Bishul Yisrael is a Hebrew term for one of the laws of kashrut in Judaism. The rule prohibits eating certain foods if they are cooked entirely by non-Jews. The term bishul Yisrael (literally "cooking of Israel" - i.e., by a Jew) is the opposite of bishul akum, (cooking of a non-Jew), which the rule forbids. ("Akum" (עכו"ם) is an acronym of "Ovdey Kochavim U'Mazalot" (עובדי כוכבים ומזלות), literally "worshippers of stars and zodiac signs", but is actually a term for non-Jews).


Petikan tersebut menjelaskan bahawa AKUM adalah singkatan perkataan Ovdey Kochavim U'Mazalot yang secara literalnya bermaksud "penyembah bintang dan lambang zodiak". Lebih lanjut, AKUM sebenarnya merujuk kepada orang-orang BUKAN YAHUDI atau dengan kata lainnya ORANG-ORANG KAFIR/ MUSYRIK daripada pandangan agama mereka.  Islam juga memanggil penyembah berhala sebagai orang kafir. Persamaan ini tidaklah menghairankan kerana agama orang Yahudi juga pada asalnya adalah agama samawi seperti juga agama Islam dan Kristian.

Persoalannya, bolehkah kita menggunakan singkatan AKUM dalam SMS atau chatting? Sebelum menjawab persoalan ini, saya berikan beberapa contoh perkataan bahasa Inggeris  yang memberi makna berbeza dalam bahasa lain:

CHAT bermaksud 'cat' ataupun kucing dalam bahasa Perancis. 
Tetapi, "Let's have some chat" bukanlah bermaksud "Mari makan kucing".
SEX bermaksud 'six' atau enam dalam bahasa Latin. 
Tetapi "I need sex" bukanlah bermaksud "Saya perlukan enam". 
HELL bermaksud "light" dalam bahasa German. 
"What the hell" pula bukanlah bermaksud "Cahaya apa ke jadah!"
dan orang putih juga tidak akan memberikan anda segelas air hanya kerana 
anda mengatakan "I need some fresh air"

Begitu juga halnya dengan perkataan AKUM. Dalam bahasa Yahudi memang ia bermaksud "penyembah bintang". Tetapi dalam konteks kita (org Islam Malaysia), ia berasal daripada perkataan Assalamualaikum yang bermaksud "Salam sejahtera ke atas kamu". Justeru, pada pandangan peribadi saya tidak ada masalah untuk menggunakan singkatan Akum ketika berSMS kerana ia secara asalnya berasal daripada perkataan yang baik bagi orang Islam iaitu Assalamualaikum. Melainkan jika kita berniat untuk memaki atau menyumpah seranah bila menggunakan perkataan tersebut, sudah tentu lain pula ceritanya.